September 28, 2020
PERUTUSAN BULAN SEPTEMBER PEMANGKU PENGARAH URUSAN
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurniaNya kita dapat memasuki fasa baharu Hijrah iaitu Tahun Baru 1442 Hijrah. Awal Muharam yang menandakan awal tahun Hijrah mempunyai pengertian yang amat besar bagi umat Islam. Hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah adalah satu rancangan strategik dalam menyusun strategi bagi menjamin keselamatan, kemenangan Islam dan mempertahankan agama Allah serta nilai-nilai murni Islam untuk jangka panjang. Kesyukuran turut dipanjangkan kerana kita telah melangkaui suku ketiga Tahun Kewangan 2020. Selaras dengan semangat Hijrah, kita juga mempunyai azam baharu untuk terus berkembang daripada suatu tahap ke suatu tahap yang lebih baik. Walaubagaimanapun, antara cabaran dalam perniagaan yang perlu ditempuh adalah margin keuntungan semakin rendah dan persaingan semakin sengit di antara syarikat-syarikat pengeluar kabel apabila permintaan pembelian kabel semakin rendah atas faktor ekonomi. Alhamdulillah diucapkan sekali lagi kerana TCI masih terus kekal memberikan keputusan yang positif untuk beberapa bulan kebelakangan ini. Diharapkan momentum ini dapat diteruskan sehingga berakhirnya tahun kewangan 2020 ini.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua warga TCI atas kejayaan mendapatkan Pensijilan ABMS ISO 37001:2016. Pelbagai ranjau cabaran yang ditempuhi sudah pastinya menjadikan semua warga TCI berjiwa kental dan dapat berdaya saing. Dengan berjayanya TCI memperoleh pensijilan ini, diharapkan warga TCI dapat menerapkan nilai-nilai murni dan sentiasa amanah dalam menjalankan tugas. Untuk makluman, Jabatan Intergiti telah membangunkan projek TNB Corporate Integrity Management System (TCIMS) berlandaskan rangka kerja ABMS ISO 37001:2016. Objektif TCIMS ini adalah untuk menerapkan nilai integriti ke seluruh pelusuk organisasi bagi mencegah rasuah dan memantapkan tahap integriti TNB.
Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas khidmat bakti En. Rosre bin Galeh, En. Roslan bin Babji, En. Alsabri bin Abi Hurairah, Pn. Aminah Binti Mahmod dan En. Hussian bin Mokri yang berkhidmat secara purata selama 35 tahun sebagai warga dan keluarga TCI. Sesungguhnya segala usaha, kudrat dan pengorbanan yang telah disumbangkan oleh semua pesara secara langsung mahupun tidak langsung telah membantu dan mencorakkan TCI di kedudukan sekarang ini. Banyak cabaran dan kejayaan telah kita harungi bersama dan ianya akan kekal dalam lipatan sejarah TCI buat selama-lamanya. Akhir kata, selamat bersara dan selamat maju jaya kepada tuan-tuan dan puan-puan. Saya juga berdoa agar segala urusan warga TCI yang masih bekerja mahupun yang telah bersara dipermudahkan dan semoga diberkati dengan kesihatan yang berpanjangan serta bahagia di samping keluarga tersayang. Maka dengan ini, saya sudahi ucapan saya dengan dua rangkap pantun:
Kalau ada pauh di daik,
Bawa sebiji ke tanah seberang,
Kalau ada budi yang baik,
Sampai mati dikenang orang.
Berangkat sampan ke Pulau Pandan,
Mencari kepah untuk hidangan,
Perpisahan ini bukan sempadan,
Ikatan terjalin usah diputuskan.
Sekian.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
FAKHRURRAZI MOHAMAD
Pemangku Pengarah Urusan
BACK TO NEWS LIST