October 16, 2020
PERUTUSAN BULAN OKTOBER 2020 PEMANGKU PENGARAH URUSAN
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita diberi kekuatan dan kemudahan dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan di Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. (TCI). Sesungguhnya tanggungjawab ini kita galas bersama untuk memastikan TCI terus kekal relevan dan sentiasa maju ke hadapan.
Sepertimana kita sedia maklum, kita sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi penularan wabak Covid-19 di negara kita. Daripada kejayaan kita membendung wabak ini kepada satu digit pada satu ketika dahulu, kini telah berlaku peningkatan kes-kes harian baharu wabak Covid-19 sehingga mencecah kepada tiga digit. Situasi ini amat membimbangkan kita semua. Justeru itu, janganlah kita alpa dan hendaklah sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sentiasalah amalkan 3W dan elakkan 3S/3C. Sekiranya anda dari zon merah ataupun terdapat kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, silalah kuarantin kendiri demi orang yang disayangi. Ingatlah, pada masa ini kita semua adalah barisan hadapan yang perlu memainkan peranan agar penularan wabak ini dapat dikawal semula.
Pada bulan september yang lepas, TCI telah melalui satu fasa yang sukar di mana kita menghadapi masalah kualiti sehingga menyebabkan kegagalan Product Inspection (PI). Lanjutan daripada itu, Ketua-ketua Jabatan di bahagian operasi dan jurutera-jurutera sedang giat mencari punca sebenar masalah ini. Proses pemulihan dan penambahbaikan sedang giat dijalankan agar kualiti produk kita dapat dipertingkatkan supaya tiada lagi kegagalan PI pada masa akan datang. Seperkara lagi, pada bulan September juga TCI telah menjalankan Audit Dalaman Integrated Management System (IMS) yang berlangsung pada 21-23 September 2020. Hasil penemuan bagi audit yang telah dijalankan ialah 13 Nonconforming Report (NCR) dan 37 Opportunity For Improvement (OFI). Penemuan-penemuan tersebut adalah sebagai penambahbaikan terhadap pematuhan IMS dan menjadi penanda aras kepada semua dalam memastikan pematuhan terhadap prosedur kerja, kualiti produk dan servis serta pematuhan terhadap keselamatan kesihatan dan persekitaran di TCI. Tahniah diucapkan kepada barisan juruaudit yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam pelaksanaan audit ini supaya TCI terus maju ke hadapan.
Akhir kata, saya menyeru kepada semua warga TCI agar bersama-sama meningkatkan kualiti kerja dan memacu TCI ke masa hadapan yang lebih baik. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam memerangi wabak Covid-19. Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 sebelum ini. Oleh itu, saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi. InsyaAllah, kita doakan mudah-mudahan kita semua akan menang akhirnya.
Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
FAKHRURRAZI MOHAMAD
Pemangku Pengarah Urusan
BACK TO NEWS LIST